PAS Kelantan sindir: Masuk PH semua bersih
Melihat kepada perkembangan semasa politik, PAS hari ini menyindir kerajaan apabila beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) membuka pintu kepada bekas pemimpin Umno.
Setiausaha PAS Kelantan Che Abdullah Mat Nawi berkata PH kelihatan menganggap mana-mana pemimpin Umno yang menyertai mereka sebagai bersih daripada kesilapan lalu.
"Selepas jadi menteri sebelum ini (bekas pemimpin Umno) boleh jadi ada kesilapan-kesilapan (kecil), yang salah laku besar itu satu hal.
"Lalu dengan kesilapan itu mereka diburu.
"Untuk menyelamatkan diri daripada tuduhan-tuduhan (itu) mereka melompat," katanya ketika ditemui media di Kota Bharu, hari ini.
Che Abdullah yang juga anggota parlimen Tumpat itu berkata demikian ketika diminta mengulas senario bekas pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas.
Mengikut beberapa kes mutakhir, mereka dipercayai akan menyertai salah satu parti komponen PH. Setakat ini Bersatu adalah parti utama yang menjadi pilihan mereka.
Berjuang demi prinsip
Pada masa sama beberapa parti lain - termasuk PAS - turut membuka pintu buat bekas pemimpin Umno terbabit.
Untuk rekod beberapa pemimpin PH secara terbuka menyatakan rasa tidak senang mereka dengan perkembangan berkenaan dan mengingatkan parti terbabit supaya berhati-hati bagi mengelak rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Che Abdullah berkata dengan keadaan itu istilah Malaysia Baru yang digunakan PH sejak mengambil alih kerajaan persekutuan pada 10 Mei lalu tidak ada beza dengan pemerintahan BN.
"Bila masuk PH (jadi) bersih. Tak ada beza apa apa Malaysia Baru atau lama. Sama saja. Berbalik seperti zaman Umno dulu juga," katanya yang turut memetik kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dibebaskan daripada dakwaan rasuah berkaitan pembelian banglo di Pulau Pinang sebelum ini.
Baca Mujahid: Jangan sampai muncul BN 2.0, Umno 3.0
Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan ada anggota parlimen PAS Kelantan juga bercadang keluar parti, Che Abdullah menyatakan pihaknya yakin perkara itu tidak akan berlaku.
"Alhamdulillah MP kita bersih, tidak ada tekanan untuk menyelamatkan diri.
"Cita-cita perjuangan kita ni bukan nak jadi menteri, bukan nak jawatan tapi memperjuangkan prinsip.
"Jadi sesiapa yang nak memperjuangkan prinsip dia tetap akan bersama dalam PAS," tegasnya.

