Malaysiakini
BERITA

Zahid mengalah, serah kuasa pada Mat Hasan

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Dis 2018, 3:28 petang

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.

Jelasnya, keputusan itu diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Ini tentunya sesuai dengan semangat dalam perlembagaan Umno sendiri bahawa jika presiden tidak mendapat ‘hidayah’, maka kaedah terbaik (adalah) berikan kepercayaan pada timbalan presiden untuk jalankan tugas presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program wacana Hati ke Hati di Auditorium Umno, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Mohamad dan dua orang naib presiden Umno telah dimaklumkan tentang hal tersebut.

Ditanya tempoh peralihan kuasa itu berlaku, Ahmad Zahid menjawab: “Sehingga Tok Mat rasakan beliau tidak sanggup lagi pikul tanggungjawab itu atau (setelah) beliau yakin saya boleh teruskan tugas dan tanggungjawab.”

Diminta menjelaskan alasannya tidak meletakkan jawatan, Ahmad Zahid berkata bahawa beliau lebih selesa untuk mengambil jalan tengah.

Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa selepas ini beliau akan memainkan peranan sebagai "presiden yang tidak menjalankan tugas".

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.