Pemuda Umno Setiawangsa hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan tidak sensitif seorang kakitangan wanita di syarikat pengedar kereta Honda.

Naib ketuanya Fadzmel Fadzil berkata mereka bertindak demikian kerana berpendapat wanita terbabit menyentuh sensitiviti kaum di negara ini sekali gus boleh mengganggu keharmonian sedia ada.

"Pemuda Umno Setiawangsa menegaskan bahawa tindakan hari ini bukanlah untuk mencetuskan ketegangan kaum, sebaliknya cuma mahu memastikan tidak ada sesiapa boleh mengeluarkan kenyataan provokatif kerana ia hanya akan membawa kepada kemudaratan terhadap perpaduan yang kita telah nikmati selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Fadzmel berkata Pemuda Umno Setiawangsa turut membuat laporan polis terhadap beberapa individu lain yang dirasakan membuat kenyataan yang boleh memecah-belah kaum di negara ini.

"Dengan langkah ini juga kami berharap ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana individu yang ingin melakukan perkara yang sama pada masa akan datang.

"Jika ada lagi kenyataan berbau hasutan seperti ini, kami sarankan kita membuat laporan dan biarkan polis bertindak.

"Jangan biarkan isu seperti ini berleluasa dan kita bersama-sama kekang sebelum ia merebak menjadi isu yang lebih mudarat," katanya.

Honda Malaysia semalam mengeluarkan permohonan maaf atas kenyataan tidak sensitif seorang kakitangan wanita di pusat edarannya berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Honda berkata wanita terbabit turut digantung tugas dan siasatan dalaman sedang dijalankan.

Mereka juga menghantar memo kepada pusat-pusat edarannya untuk menasihati kakitangannya supaya menunjukkan perilaku yang baik.

Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan sebelum didakwa polis ditarik keluar dari kenderaannya.

Polis setakat ini menahan empat suspek yang dipercayai menyerang Adib dan mereka kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu semalam, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.