Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'KJ ajar saya IG, Nurul Izzah bagi tip anak'
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 2:41 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Selepas gambarnya bersama-sama Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin menjadi perhatian ramai pihak, Rafizi Ramli menafikan mereka bertiga berbincang untuk menubuhkan parti politik baru.

Menerusi ciapannya di Twitter, Rafizi secara berseloroh mengatakan perjumpaan itu lebih tentang hal-hal biasa dan peribadi.

"KJ ajar saya macam mana nak pakai filter Instagram. Nurul Izzah bagi tips (tentang) sekolah anak. Saya bagi tips macam mana nak gemuk.

"Terima kasih buat liputan kami makan tengah hari. (Tetapi) Langsung tak bincang lompat, buat parti," katanya.

Bersama ciapan itu, beliau turut mengongsikan pautan laporan Berita Harian hari ini bertajuk "Eksklusif: Khairy, Nurul Izzah, Rafizi bentuk parti orang muda?".

 

Laporan itu mendakwa ketiga-tiga ahli politik itu mungkin menggerakkan platform politik baru berteraskan golongan muda selepas dilihat bertemu dan berhubung melalui media sosial.

Ia juga membangkitkan keadaan semasa mereka - keputusan Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden PKR, Khairy yang kian terbuka mengkritik pimpinan Umno dan Rafizi yang tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini dan dilihat lebih memberi tumpuan kepada Invoke yang diasaskannya.

Bekas ketua pemuda Gerakan Tan Keng Liang juga mencadangkan agar mereka menubuhkan platform politik baru yang dapat memberi alternatif kepada rakyat Malaysia selain Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Umno.

Ia bukan kali pertama gambar pertemuan mereka bertiga di media sosial.

Pada 10 Disember lalu, Rafizi memuat naik gambar mereka diiringi pernyataan bahawa mereka sering berjumpa untuk makan tengah hari dan berkongsi aspirasi yang sama untuk Malaysia walaupun berbeza parti.

Lihat Komen
ADS