Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanipa sindir 'lori Kassim Baba' di himpunan bantah Icerd
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin hari ini menggunakan ruang sesi soal jawab di Dewan Negara untuk menyindir perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Dis lalu.

Hanipa sebelum itu menjawab soalan senator dari Terengganu yang bertanya berhubung persiapan kerajaan dalam isu banjir memandangkan Monsun Timur Laut bermula 27 Okt lalu.

Ketika memperincikan tentang kelengkapan kenderaan untuk membantu meminimumkan kesan banjir, Hanipa berkata pihaknya menyediakan lori "tapi tidak termasuk lori Kassim Baba yang digunakan pada perhimpunan Icerd".

Kassim Baba merupakan watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang dilakonkan S Shamsuddin.

Dalam satu babak filem itu, Kassim Baba membawa lori ke gua yang menyimpan harta rompakan yang ditunjukkan adiknya, Ali Baba.

Dalam hantaran di Facebook, Hanipa turut memuat naik gambar pemimpin PAS dan Umno yang sedang duduk di atas lori ketika perhimpunan bantah Icerd.

Sementara itu, berdasarkan hansard Dewan Negara, anggota parlimen Sepang it juga menjelaskan bahawa bagi Terengganu, kerajaan persekutuan telah meluluskan 31 projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang melibatkan RM283 juta.

"Semua agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana telah pun bersiap-siaga untuk menghadapi banjir kali ini," katanya.

Memperincikan secara lanjut, antara lain, Hanipa berkata sebanyak 1,464 kenderaan pacuan empat roda, 15 aset udara, 425 ambulan, 859 lori, dan 1,138 bot polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah diaktifkan.

Selain itu, tambah Hanipa, kerajaan juga sudah bersiap sedia dari segi bantuan perubatan melalui Kementerian Kesihatan.

Lihat Komen
ADS