Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengasas pondok disyaki belasah anak sendiri
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

GLOBAL | Seorang penceramah dan pengasas pondok ditahan polis kerana disyaki mendera dua anaknya.

Dikenali dengan nama Bahar Smith dia diberkas polis Jawa Barat semalam.

Dia yang digelar habib dipercayai memukul dua anaknya yang masing-masing berusia 17 dan 18 tahun dalam kejadian di Pondok Tajul Alawiyyin - yang diasaskannya - di Bogor pada 1 November yang lalu.

Menurut laporan detiknews, Bahar ditahan polis selepas selesai memberi keterangan semalam.

Ketua Polis Jawa Barat, Agung Budi Maryoto, berkata Bahar, 33, ditahan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah jika mempunyai cukup bukti.

Katanya polis juga mengenal pasti lima suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Dua daripada mereka ditahan di Balai Polis Bogor,” katanya.

Datang dari Manado

Untuk rekod Bahar ialah anak didik kepada pemimpin Front Pembela Islam (FPI) yang beraliran konservatif, Rizieq Shihab.

Rizieq kini menjadi orang yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes sembang lucah dengan seorang janda.

Dia meninggalkan Indonesia sejurus sebelum polis mencekupnya. Sehingga kini Rizieq masih belum pulang.

Aksi Bahar itu mula menjadi perhatian selepas satu klip video menjadi tular beberapa hari lalu.

Dalam video itu seorang lelaki didakwa Bahar kelihatan memegang kepala seseorang sebelum menghentak ke lututnya.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Bahar akan didakwa di mahkamah.

Namun media Indonesia melaporkan FPI akan mengiringi Bahar sepanjang tempoh dia disoal siasat.

Bahar merupakan seorang penceramah dari Manado, Sulawesi Utara.

Selain menjadi pengasas Majlis Pembela Rasulullah dia juga dikenali kerana cara penyampaian yang provokatif.

Menjelang pilihan raya presiden Indonesia pada Julai tahun depan, Bahar aktif berceramah untuk mengajak rakyat Indonesia menolak Joko Widodo dan menyokong gandingan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Lihat Komen
ADS