Peguam Eric Paulsen mempersoalkan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat rayuan untuk hukuman lebih berat ke atas aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza yang memuat naik karikatur badut bekas perdana menteri Najib Razak di media sosial.

"Kita mungkin fikir peguam negara dan menteri komunikasi dan multimedia sudah menegaskan bahawa tiada lagi pendakwaan atau rayuan bermotifkan politik seumpamanya.

"Tapi ia masih terjadi, sama seperti AGC membuat rayuan berhubung hukuman lebih berat ke atas Tian Chua dalam kes dakwaan hasutan.

"Jadi kenapa perkara ini masih berlaku dalam Malaysia Baru? Kenapa AGC masih membuat rayuan untuk hukuman lebih berat ke atas hantaran media sosial Fahmi Reza, kemungkinan memenjarakannya, seperti tiada apa yang berubah sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14?" katanya melalui Twitter.

Fahmi sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 20 Feb lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Fahmi bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Nov lalu bagaimanapun mengenepikan hukuman penjara dan mengurangkan denda kepada RM10,000.

Susulan itu, pihak pendakwaan kes kini sedang membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk menuntut hukuman yang lebih berat.

[Baca berita asal]