Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluar kenyataan hari ini menetapkan pengundian pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland pada 26 Januari 2019 (Sabtu) dan undian awal pada 22 Jan.

PRK ini diisytiharkan, ekoran pengisytiharan Mahkamah Pilihan Raya bahawa keputusan kerusi P 078 pada PRU 14 yang lalu adalah terbatal.

Pada PRU yang lalu 9 Mei 2018, jumlah pengundi adalah 32,048 undi.

Kini jumlah pengundi adalah 32,009 undi yang diisytiharkan SPR.

Wujud pengurangan yang berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor seperti kematian, perpindahan alamat dan lain-lain.

Wujud beberapa perkara dan situasi menarik untuk dilihat pada PRK kali ini.

Pertama, PRK kali ini memperlihatkan pertembungan antara dua kerajaan iaitu kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan dan Barisan Nasional di peringkat Negeri Pahang.

Bagaimana corak kempen yang bakal berlaku? Menarik juga untuk melihat isu-isu yang digemburkan oleh pelbagai pihak terutama di kalangan NGO seperti BERSIH berkaitan isu penggunaan jentera kerajaan.

Bagaimana kedua pihak menanganinya?

Pada PRU 14 yang lepas Mei 2018 apabila P 078 mengalami pertembungan pertandingan 5 penjuru menyaksikan keputusan:

• BN mendapat 10,307 undi

• PH diwakili DAP mendapat 9,710 undi

• PAS mendapat 3,587 undi

• Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 680 undi dan

• Berjasa mendapat 81 undi

PAS telah mengumumkan tidak bertanding dan bakal membantu calon pembangkang.

Justeru, menarik untuk melihat ke arah manakah kecenderungan ahli PAS yang dahulunya dengan kekuatan 3,587 undi untuk mengundi bukan Melayu dalam

kerencaman polemik-polemik yang berkaitan isu Melayu-Islam yang dibangkitkan kini.

Berdasarkan komposisi kaum data demografi PRU 14 pada Mei 2018, pecahan komposisi kaum adalah seperti berikut yang dijangka tidak berbeza jauh dalam PRK kali ini:

Melayu – 33.44% 

Cina – 28.42% 

India – 14.42%

Lain-lain (Orang Asal kebanyakannya) 23.67%

Berdasarkan komposisi tersebut antara penentu kemenangan calon-calon pilihan raya lalu khususnya bagi Barisan Nasional adalah undi orang Asal yang agak tinggi jumlahnya iaitu 23.6%.

Tidak hairanlah, Parlimen Cameron Highland ini pernah digolongkan sebagai kubu kuat BN. Jika dahulu orang Asal menyokong BN, namun bagaimanakah ‘trend’ tersebut kini setelah kerajaan Persekutuan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Adakah suasana negeri Pahang yang dalam penguasaan kerajaan BN akan mempertahankan landskap PRU yang lepas?

Suasana pastinya tidak mudah buat gabungan BN khususnya MIC yang meletakkan calon dalam PRU lepas.

Kemelut dalaman Umno pastinya memberi kesan kepada penggerak jentera BN.

Pakatan Harapan berdasarkan konvensyen atau kesepakatan empat PRK pasca PRU 14, ke semua PRK yang dilangsungkan telah dipertanggungjawabkan kepada parti gabungan Pakatan Harapan yang menjadi calon di kerusi tersebut pada PRU 14.

Pastinya kali ini menjadi tanggungjawab DAP untuk kekal menghantar calon bertanding mewakili Pakatan Harapan.

Cabaran DAP pastinya untuk meraih sokongan undi Melayu dan orang Asal yang jumlahnya hampir 56% undi.

Institut Darul Ehsan (IDE) menyambut baik langkah penambahbaikan SPR yang diumumkan oleh Datuk Azhar Azizan Harun pada PRK kali ini.

SPR telah mengumumkan langkah memberi ruang kepada calon-calon yang bertanding untuk menghantar borang ke Pejabat Pengurus Pilihan Raya untuk semakan awal sebelum hari penamaan calon.

Kaedah ini membolehkan proses perjalanan penamaan calon berkaitan isu-isu teknikal dapat disemak lebih awal berkaitan dengan isu-isu seperti status bankrupsi , isu penyata kewangan dan status calon, penyokong dan pencadang.

SPR juga mengumumkan dua langkah pro aktif iaitu yang pertama, untuk menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung melalui media sosial dan media elektronik adalah satu langkah yang baik dalam proses pendidikan demokrasi untuk rakyat.

Kedua, SPR juga mengumumkan langkah proaktif untuk menyiarkan keputusan awal pengundian adalah satu tindakan positif bagi memberikan maklumat yang pantas dan terkini kepada rakyat.

Pengalaman IDE dalam PRU 14 yang lepas dan tiga PRK yang lalu telah berjaya membantu parti-parti politik melalui Sistem SPERA untuk memaparkan keputusan awal berdasarkan maklumat Borang 14.

Pengalaman IDE, dengan sistem SPERA yang dibangunkan keputusan awal boleh diperolehi seawal jam 6.00 petang dan jumlah keseluruhannya selewat-lewatnya jam 7.00 ptg.

Namun demikian, dalam kenyataan SPR, masih lagi meletakkan sasaran 70 peratus turun mengundi walaupun berdasarkan trend empat PRK pasca PRU 14, peratusan turun mengundi paling tinggi adalah di PRK Port Dickson 58.3 peratus.

Justeru, SPR perlu bersedia dengan strategi bagi menggalakkan pengundi untuk turun mengundi bagi mencapai sasaran tersebut.

Menangani isu peratusan turun mengundi ini, SPR sendiri harus menjalankan kempen untuk pengundi turun dengan menggunakan saluran media utama dan media sosial.

Berdasarkan kajian IDE sejak dahulu, hari Sabtu masih dilihat hari yang kurang sesuai untuk hari pengundian bagi suatu pilihan raya kecil terutama kepada pekerja swasta disebabkan mereka masih bekerja di hari Sabtu dan juga kepada pengundi-pengundi yang tinggal di luar Cameron Highland.

Hari Ahad atau hari cuti masih merupakan hari terbaik buat pengundi untuk membuang undi.

SPR dan parti-parti politik perlu juga mengatur strategi untuk membantu pengundi keluar mengundi pada hari tersebut khususnya pengurusan trafik.

Ramai sedia maklum, Cameron Highland khususnya di kawasan-kawasan pelancongan memang terkenal sesak di hari cuti sekolah.

Kepada rakyat Parlimen P 078 Cameron Highland, selamat mengundi, jalankan tanggungjawab anda sebaiknya untuk memilih pemimpin mewakili anda di Dewan Rakyat!




KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR merupakan pengurus kanan penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE).

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS