Paling Popular
Terkini
story images
story images

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad hari ini.

Kunjungan kedua-dua ahli politik DAP itu diadakan bagi mendapatkan pandangan Zulkifli dalam usaha kerajaan menangani masalah sosial yang semakin membarah.

Pertemuan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya itu antara lain membincangkan jalan penyelesaian terhadap isu sosial khususnya membabitkan golongan muda.

Yeoh - yang mengenakan baju kurung dan berselendang - mengemukakan data-data berhubung masalah sosial seperti kes kehamilan luar nikah, pembuangan bayi dan masalah mental.

Pada perbincangan itu mereka dijamu dengan makanan ringan termasuk buah kurma.

Yeoh turut dipelawa Zulkifli untuk menikmati kurma terbaik dari Timur Tengah itu.

Zulkifli pada sidang media kemudiannya menyatakan komitmen pejabat mufti Wilayah Persekutuan untuk membantu kerajaan dengan menyumbang pandangan dan saranan bagi menangani isu berkenaan.

Negara kuat kalau bersatu

Dalam pada itu Yeoh berkata, masalah itu berlaku tidak hanya membabitkan kaum atau agama khusus semata-mata.

"Portfolio yang saya pegang merangkumi semua agama, semua kaum. Kerisauan kita pada kanak-kanak bawah umur (yang menjadi mangsa).

"Oleh itu kita mendapatkan padangan mufti dalam hal ini," katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini Yeoh di Dewan Rakyat pada 13 Nov lalu mendedahkan satu pertiga kes perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama sesuatu perkahwinan.

 

Isu-isu yang dianggap remeh menjadi punca perceraian seperti isteri gemar membasuh pakaian pada waktu malam dan suami tidak suka isteri makan di dalam kereta yang kebanyakannya membabitkan pasangan bukan Islam.

Rentetan itu kerajaan bercadang untuk mewajibkan pasangan bukan Islam yang ingin mendirikan rumah tangga menghadiri kursus praperkahwinan.

Kata Yeoh, siri perbincangan untuk memperluaskan pelaksanaan kursus praperkahwinan kepada pasangan bukan Islam akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Yeoh yang berterima kasih kepada Zulkifli kerana sudi berkongsi pandangan dengannya turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu membabitkan sensitiviti agama dan kaum.

Katanya, persefahaman dan perpaduan antara kaum perlu diperkukuhkan lagi supaya setiap rakyat saling memahami dan menghormati.

Sementara itu Zulkifli berkata, kekuatan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini jika disatukan akan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.


Lihat Komen
ADS