Latheefa takkan diam
Anggota PKR Latheefa Koya menempelak aduan disiplin parti yang difailkan terhadapnya, berkata tindakan itu suatu "taktik jelik ala Umno."
"Menggunakan aduan disiplin untuk membisukan saya merupakan taktik jelik ala Umno. Ia tidak akan berjaya," katanya dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini.
Beliau mengulas aduan yang difailkan Cabang Klang dan Indera Mahkota hari ini.
Aduan itu mengenai dakwaan peguam tersebut bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam melantik para pengerusi negeri.
Kedua cabang parti itu berkata Latheefa tidak sepatutnya mendedahkan hal itu kepada awam dan perlu menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan kritikannya.
Nurul Izzah letak jawatan
Latheefa mempertahankan kenyataannya itu, berkata ia dibuat demi kepentingan orang ramai.
"Hal yang saya bangkitkan dalam kenyataan saya pada Isnin lalu bukan setakat urusan parti.
"Ia mengenai kebimbangan kronisme dan nepotisme sebuah parti terbesar di dalam pentadbiran persekutuan negara ini. Justeru ia menyentuh hal kepentingan awam," katanya.
Beberapa jam selepas kenyataan Latheefa itu pada Isnin lalu, Nurul Izzah, anak sulung Anwar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR dan pengerusi Pulau Pinang.
Pada hari yang sama kemudian, MP Pasir Gudang Hassan Karim turut menolak pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor.
Hassan mendakwa proses pemilihanya pengerusi PKR negeri tidak telus.

