Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy minta PM jangan pecat Waytha, Maszlee
Diterbitkan:  Dec 20, 2018 4:25 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Jangan terkejut - di saat ratusan ribu orang menandatangani petisyen mendesak supaya Dr Mahathir Mohamad memecat P Waythamoorthy, seorang bekas pemimpin kanan Umno tampil 'membela' senator terbabit.

Hanya menggunakan ciapan di Twitter, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tanpa bersembunyi lagi meminta perdana menteri mengekalkan Waythamoorthy.

Turut diselitkan dalam ciapan bekas menteri belia dan sukan itu ialah Dr Maszlee Malik, iaitu menteri pendidikan Pakatan Harapan (PH).

Cuma, permintaan Khairy itu perlu difahami dengan betul. Kenyataan tersebut sebenarnya berlapis maksud.

"Harap @chedetofficial tidak memecat Waythamoorthy dan @maszlee. Mereka ini aset bagi pembangkang," kata Khairy petang ini.

Waythamoorthy dianggap bertanggungjawab menyebabkan meningkatnya ketegangan dalam isu pertikaian tapak kuil Sri Maha Mariamman akhir Nov lalu.

Untuk rekod Waythamoorthy ialah pemimpin Parti Hindraf Malaysia yang dibawa menganggotai kerajaan melalui lantikan sebagai senator.

Apa Waytha boleh buat

Waythamoorthy, 52, diberi tanggungjawab sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelolakan hal-ehwal perpaduan.

Untuk rekod sebelum ini beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan melalui pelantikan oleh Najib Razak. Waythamoorthy kemudian meletak jawatan.

Ketegangan di kuil di Subang Jaya itu mencapai kemuncaknya apabila salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbunuh pada 17 Dis lalu.

Waythamoorthy dianggap bertanggungjawab atas kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tersebut.

Terdahulu melalui ciapan lebih awal Khairy berkata Waythamoorthy diberi jawatan menjaga portfolio perpaduan, tetapi sekarang dia mencetuskan kemarahan orang ramai.

Dalam keadaan begitu kata anggota parlimen Rembau itu, bagaimana pula Waythamoorthy dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Apa yang dia boleh buat untuk menyatukan rakyat?

"Oh, rakyat sudah bersatu dalam menolak beliau," ciapnya secara sinis.

Untuk rekod Maszlee ialah seorang lagi menteri yang selalu menjadi perhatian ramai sejak dilantik menyertai kabinet PH.

Antara isu yang diingati ramai berkaitan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu ialah mengenai peraturan kasut sekolah hitam dan pembelajaran renang dalam kalangan pelajar.

Lihat Komen
ADS