Polis akan siasat semula empat suspek bunuh Adib
Polis akan menyoal semula empat suspek yang ditahan reman sebelum ini kerana menyerang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, keempat-empat mereka akan dipangil untuk memberi keterangan selepas kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
"Mereka akan dipanggil sekali lagi, dengan kes ini yang sudah diklasifikasikan sebagai pembunhan, kami akan melihat maklumat dan butiran yang lebih mendalam.
"Terdapat banyak bukti yang perlu dikumpul untuk kes tersebut," ujarnya seperti dilapor Mstar.
Beliau juga berkata polis kini giat mencari saksi lain yang terlibat dalam kes berkenaan.
Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.
Selepas bertarung nyawa hampir tiga minggu, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu.
Dalam pada itu, Noor Rashid berkata mereka giat mengenal pasti beberapa individu lain yang boleh memberi keterangan berhubung kes itu.
"Sejumlah 38 orang yang kami cari telah datang dan sudahpun mengambil keterangan mereka," katanya.

