Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah: Umat Islam jangan kedekut tunai zakat
Diterbitkan:  Dec 21, 2018 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menegur sikap culas umat Islam dalam melaksanakan kewajipan berzakat.

Menurut mimbar, kegagalan melunaskan kewajipan zakat hanya akan meletakkan diri mereka kepada kebinasaan di dunia dan akhirat.

"Ingatlah! Sesiapa yang enggan berzakat sebenarnya mereka sengaja meletakkan diri mereka kepada kebinasaan di dunia dan akhirat.

"Bahkan, sifat bakhil adalah sifat buruk yang dikeji dan dibenci oleh Allah SWT. Orang-orang bakhil dan kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka Huthamah, iaitu neraka yang disediakan khas untuk mereka," menurut teks khutbah.

Oleh itu, mimbar juga mengingatkan sidang Jumaat segera melunaskan kewajipan zakat demi beroleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan memberi kegembiraan kepada golongan fakir dan miskin.

Di samping itu, mimbar berkata sidang Jumaat juga harus menyemak segala harta yang diwajibkan zakat telah dizakatkan.

"Kemungkinan ada di antara harta-harta tersebut telah sempurna syarat-syarat yang mewajibkan ia dizakatkan. Semoga dengan kesungguhan dan keprihatinan kita terhadap syariat Allah SWT ini akan mengundang keberkatan, kebahagian dan pertambahan rezeki yang lebih banyak lagi pada masa akan datang," kata mimbar dalam teks khutbah bertajuk “Zakat, Berbahagia Dengan Memberi".

Sementara itu, pihak Lembaga Zakat Selangor turut memuji umat Islam yang berjaya menunaikan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan laporan sehingga Jun 2018, jumlah umat Islam di Selangor yang menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor hanya seramai 244 ribu orang.

Ini bermakna sekitar 24 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan umat Islam di Selangor yang menunaikan kewajipan zakat.

Bagaimanapun, peratusan tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 18 peratus umat Islam yang membayar zakat di Lembaga Zakat Selangor sepanjang tahun 2017.

Lihat Komen
ADS