BERITA Malaysiakini

SPRM teliti cadangan parlimen lantik KP - Shukri

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memperinci kaedah untuk membolehkan pelantikan ketua pesuruhjayanya diputuskan sendiri oleh suruhanjaya itu termasuk mencadangkan pelantikan menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pelantikan melalui PSC bagaimanapun memerlukan pindaan kepada Akta SPRM.

“Jika sukar mendapat sokongan dua pertiga Parlimen untuk membenarkan SPRM memilih sendiri ketua pesuruhjaya, kita boleh cuba dengan hanya meminda Akta SPRM dengan memasukkan klausa membenarkan pelantikan dibuat PSC.

“Kita mahu mereka yang dilantik dapat melakukan tugas tanpa rasa gentar, tidak boleh dibuang begitu sahaja seperti jawatan hakim yang mana sebarang tindakan memerlukan kebenaran tribunal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed sempena taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-Usaha Memerangi Rasuah di Malaysia dari Jun-Disember 2018.

Bebas lantik pegawai

Menurut Mohd Shukri, lantikan ketua pesuruhjaya SPRM ketika ini dibuat perdana menteri yang mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Beliau berkata pelantikan menerusi PSC yang disertai wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang akan menjadikan individu yang dipilih dilihat lebih telus serta tidak cenderung kepada mana-mana pihak.

Mohd Shukri dalam pada itu berkata transformasi yang sedang dilakukan SPRM akan menyaksikan suruhanjaya itu bakal mempunyai suruhanjaya perkhidmatannya sendiri.

Melalui cara itu, katanya SPRM bebas memilih dan melantik pegawai sendiri berdasarkan keperluan bidang kerja suruhanjaya berbanding lantikan yang dibuat melalui Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ketika ini.

"Ia membolehkan SPRM meningkatkan keupayaan dan profesionalisme dalam kalangan kakitangannya dan bertindak mengawal terma dan syarat pekerjaan termasuk soal tindakan tatatertib," katanya.

- Bernama