CPTPP mungkin menyebabkan kesan sosioekonomi yang dahsyat: Bantah TPPS/CPTPP
Malaysia mungkin akan menghadapi akibat sosio-ekonomi yang dahsyat jika ia memilih untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Oleh itu, Penyelaras Bantah TPPA/ CPTPP, Mohd Effuan Aswadi Abdul Wahab berkata, Malaysia tidak harus mengesahkan perjanjian perdagangan itu kerana ia mungkin kehilangan fleksibiliti dasar yang dibentuk oleh masyarakat berbilang etnik.
"Malaysia mempunyai struktur ekonomi dan sosio-politik yang sangat sensitif, memandangkan sifat masyarakat berbilang etniknya. Kita mempunyai ketidaksamaan besar antara etnik dan wilayah dan kerajaan Malaysia memerlukan ruang yang mencukupi untuk melaksanakan dasar bagi menutup jurang tersebut.
"Oleh itu, adalah lebih baik bagi Malaysia untuk tidak meratifikasi CPTPP," katanya dalam satu kenyataan, sebagai respons kepada laporan baru-baru ini yang bertajuk "CPTPP baik untuk Malaysia, kata badan pemikir".
Mohd Effuan berkat,a artikel itu tidak menggambarkan isu sebenar yang akan dihadapi Malaysia jika negara memilih untuk meratifikasi CPTPP.
"Terdapat banyak cabaran yang harus dihadapi Malaysia dan kesan sosio-ekonomi untuk Malaysia akan sangat dahsyat," katanya, sambil menambah bahawa CPTPP juga sebenarnya bukan mengenai perdagangan bebas kerana hanya enam daripada 30 bab terlibat secara langsung dengan perdagangan.
Beliau berkata, banyak bab dalam perjanjian itu hanya akan memberi lebih banyak manfaat kepada syarikat besar daripada kesejahteraan rakyat.
"Beberapa bab utama yang menjadi kontroversi ialah mengenai pelaburan, penyelesaian pertikaian pelabur-negara dan perusahaan milik negara," jelasnya.
Mohd Effuan juga bimbang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan disekat dengan keutamaan yang mereka boleh diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bab perusahaan milik negara (SOE).
"SOE atau lebih dikenali di sini sebagai GLC telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi Malaysia dan membuktikan keupayaan mereka dengan membantu banyak PKS tempatan," katanya.
-- Bernama

