Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tarikh kematian Adib dicadang jadi Hari Perpaduan

Pemimpin MIC hari ini mencadangkan kerajaan Selangor supaya mengumumkan 17 Disember sebagai Hari Perpaduan bagi peringkat negeri demi mengingati kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi MIC Selangor, M Rajendram turut menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengadakan majlis anugerah di atas nama Adib sendiri bagi NGO dan individu yang memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.

“Pandangan MIC Selangor adalah Adib seorang wira negara. Walaupun, beliau berasal dari Kedah, sumbangan beliau perlu dihormati khususnya di Selangor.”

“Saya mengakui kematian Adib satu detik hitam di negeri Selangor. Tetapi, demi menghormati beliau kita perlu iktiraf beliau dengan mengumumkan 17 Disember sebagai Hari Perpaduan diperingkat Selangor,” katanya ketika menghubungi Malaysiakini.

Untuk rekod, Adib yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Disember yang lalu di Institut Jantung Negara.

Jangan politikkan kematian

Anggota bomba berumur 24 tahun itu merupakan salah seorang yang dikejarkan ke lokasi rusuhan pada November lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Muhammad Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Polis mendakwa Muhammad Adib diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Lebih menyayat hati, Allahyarham sepatutnya melangsungkan perkahwinannya pada hujung bulan ini.

Terdahulu, Rajendram menggesa kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang supaya tidak mempolitikkan kematian Adib.

“Ia sangat sedih ada pihak masih tuduh menuduh dan membangkit api perkauman.

“Bagi kami kematian Adib lebih daripada itu. Kami harap kerajaan negeri segera memberi perhatian dengan cadangan kami,” kata beliau lagi.

Lihat Komen
ADS