Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekumpulan yang menamakan diri mereka Kelab Lu Langsi Lu Mati (LLLM) menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri Perpaduan P Waythamoorthy.

Adillah Jamaluddin yang memperkenalkan dirinya sebagai timbalan presiden kumpulan itu berkata Waythamoorthy gagal meredakan ketegangan dan mengendalikan isu rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman yang mengorbankan nyawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Apa yang kita tengok, sebagai menteri perpaduan, beliau (Waythamoorthy) gagal," katanya.

Adillah yang ditemui di luar bangunan Pejabat Perdana Menteri berkata kumpulan itu telah menyerahkan memorandum kepada Abu Bakar Yahya, setiausaha politik Dr Mahathir.

"Oleh itu, kita mohon jasa baik Tun (Dr Mahathir Mohamad) selaku perdana menteri Malaysia dan kita yakin atas kewibaan dan sikap toleransi beliau mampu selesaikan masalah ini dengan segera.

"Sedikit sebanyak dapat meredakan sedikit gurisan hati kepada rakyat Malaysia," katanya.

Waytha jadi 'kambing hitam' 

Sekitar jam 3 petang tadi, Adillah mengetuai sekumpulan 70 orang menghantar sebuah memorandum di pejabat PMO di Putrajaya.

Tekanan supaya Waythamoorthy dipecat bertambah hebat susulan kematian Adib.

Untuk rekod, Adib yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia pada 17 Disember yang lalu di Institut Jantung Negara.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu merupakan salah seorang yang dikejarkan ke lokasi rusuhan pada November lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Muhammad Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Polis mendakwa Muhammad Adib diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Kempen di media sosial mendesak Wathamoorthy meletak jawatan telah mendapat 300,000 tanda tangan setakat ini.

Semalam, NGO Hindraf menyifatkan pengerusinya P Waythamoorthy menjadi "kambing hitam" dalam politik perkauman dan agama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS