Paling Popular
Terkini

Bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin secara rasminya diterima sebagai ahli Bersatu.

Ketua Srikandi Bersatu Rina Harun berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh Setiausaha Agung Marzuki Yahya.

Anggota parlimen Masjid Tanah mengumumkan permohonannya pada 13 Disember lalu atas alasan demi kepentingan pengundi kawasannya.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kehangatan isu pertemuan pemimpin kanan Umno dengan Mahathir dan penyertaan hampir semua pemimpin Umno Sabah ke dalam Bersatu sehari sebelumnya.

Mas Ermieyati antara anggota parlimen pertama yang keluar Umno pada 1 Julai lalu untuk menjadi wakil bebas.

Rina juga menepis kerisauan Mas Ermieyati mungkin mencabar kedudukannya sebagai ketua Srikandi.

"Kita dalam negara demokrasi, saya tak rasa begitu (mengancam kedudukannya). Saya tak rasa terancam, saya alu-alukannya (menyertai Bersatu).

"Paling penting kita berusaha untuk parti. Ambil yang baik dan buang yang buruk," katanya lagi.

Sementara itu, Rina yang juga anggota parlimen Titiwangsa berkata Mas Ermieyati dijemput untuk menghadiri perhimpunan agung Bersatu minggu depan sebagai pemerhati.

Perhimpunan Agung Bersatu kali kedua akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 28 hingga 30 Disember ini.

Lihat Komen
ADS