Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang kuat Zahid letak jawatan bos Utusan
Diterbitkan:  Dec 21, 2018 9:28 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Dr Ibrahim Yahaya meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif dan pengarang Kumpulan Utusan Melayu Bhd hanya selepas seminggu mengambil tugas tersebut pada 8 Disember lalu.

Ibrahim yang mendapat nama julukan "Tiger" di kalangan rakan-rakannya pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di antara Ogos 2015 dan Mei 2018.

Zahid kini bercuti dan menyerahkan tugas-tugas parti kepada timbalan presiden Mohamad Hassan pada Selasa lalu.

Ibrahim dibawa masuk untuk menggantikan Abdul Aziz Ishak yang berhenti pada bulan Julai 2018. 

Ibrahim pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, penasihat media kementerian yang sama dan juga ketua pegawai eksekutif Bernama TV.

Utusan Melayu Bhd, yang memiliki beberapa akhbar dan majalah, berhadapan kemelut kewangan selepas pilihan raya 9 Mei.

Akhbar milik Umno itu telah menjual tanahnya, menawarkan skim pemberhentian pekerja sukarela (VSS) kepada kakitangannya, menutup semua pejabat biro dan membawa masuk pelabur swasta untuk membantu syarikat menangani hutangnya.

Harga penutupan sebelumnya pada harga sahamnya ialah RM0.09, turun dari paras tertinggi selama 52 minggu pada harga RM0.70 seunit.

Lihat Komen
ADS