Bekas anggota parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng membuat spekulasi akan ditahan selepas pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) datang ke rumahnya semasa ketiadaan beliau.

Menerusi cacatan Facebook, Tan berkata: "Keluarga saya beritahu bahawa SKMM datang ke rumah mencari saya tetapi saya tiada"

"Jika tidak ada berita dari saya tidak lama lagi, anda tahu apa yang telah berlaku. Penganiayaan politik!" katanya.

Bagaimanapun ternyata sangkaan Tan itu tidak benar.

MCMC dalam kenyataannya berkata pegawainya hanya datang rumah Tan kerana telefon tanpa wayar yang dimilikinya menyebabkan gangguan frekuensi di kawasan itu.

"Pihak SKMM ingin menjelaskan kehadiran para pegawainya di kediaman encik Dennis Tan pagi semalam adalah untuk menyiasat satu insiden gangguan frekuensi dan bukan seperti yang didakwa beliau sebelum ini," jelasnya.

Menurut MCMC punca gangguan itu dikesan pada sebuah telefon tanpa kod jenama Panasonic model KX-TGA401 yang dimiliki Tan.

"MCMC ingin menasihatkan orang ramai yang memiliki ataupun berniat untuk menggunakan model telefon yang sama agar menghubungi pejabat MCMC yang berhampiran bagi mengelakkan berulangnya kes-kes gangguan sedemikian yang akan menjejaskan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan yang terlibat," katanya.

Tan adalah anggota parlimen Nibong Tebal dari tahun 2008 hingga 2013 dan bertanding di bawah tiket PKR. Beliau mengumumkan keluar PKR pada 2010 dan menjadi anggota parlimen bebas.