Bekas pemimpin Sabah sertai STAR
Presiden STAR, Dr Jeffrey Kitingan hari ini mendedahkan beberapa bekas pemimpin parti politik di Sabah telah menyatakan hasrat untuk menyertai parti pimpinannya.
Jeffrey berkata ini termasuk beberapa bekas pemimpin dari Umno serta UPKO, dan ada antara mereka telah menghantar borang keanggotaan menyertai STAR.
Bagaimanapun, Jeffrey buat masa ini tidak mahu mendedahkan pemimpin berkenaan sehingga mereka benar-benar memuktamadkan keputusan menyertai STAR.
“Memang ada yang telah menghantar borang keanggotaan tetapi yang lain belum memutuskan (untuk menyertai STAR),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Galeri Unduk Ngadau, Penampang, hari ini.
Galeri itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden KDCA, Clarence Bongkos Malakun.
Dalam pada itu Jeffrey, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan, menyatakan sokongan bahawa Bersatu tidak akan melebarkan sayapnya ke negeri ini.
-- Bernama

