Anggota Parlimen DAP Ramkarpal Singh berkata adalah tidak adil meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas menteri perpaduan P Waythamoorthy susulan rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu.

Jelas Ramkarpal, ia ibarat menyalahkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kekalahan Malaysia pada Vietnam di pentas akhir AFF Suzuki minggu lalu.

"Saya secara peribadi merasakan bahawa meletakkan kesalahan sepenuhnya pada Waythamoorthy atas isu rusuhan di kuil Seafield, maka, gesaan untuk beliau meletakkan jawatan - seperti yang dikatakan pengguna media sosial - adalah sama dengan menuntut Syed Saddiq meletakkan jawatan kerana kekalahan Malaysia pada Vietnam di pentas akhir AFF Suzuki," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Anggota parlimen Bukit Gelugor itu turut menyentuh berhubung "gesaan terbuka" Syed Saddiq agar Waythamoorthy meletakkan jawatan.

"Beliau (Waythamoorthy) semestinya akan mendapat kritikan daripada orang ramai, namun menerima gesaan daripada menteri lain untuk meletakkan jawatan adalah hal yang berbeza dan bertentangan dengan persetujuan bahawa sebuah kerajaan bertanggungjawab bersama-sama atas sesebuah keputusan.

"Sekiranya Waythamoorthy perlu ditegur sekali pun, ia perlulah datang daripada perdana menteri dan bukan menteri lain," katanya.

Untuk rekod, Syed Saddiq tidak membuat gesaan terbukan untuk peletakan jawatan Waythamoorthy.

Anggota parlimen Muar itu bagaimanapun mempertahankan hak Pemuda Bersatu untuk menyerahkan memorandum menggesa pemecatan Waythamoorthy kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husannudin sebelum ini berkata Syed Saddiq hanya mengaturkan perjumpaan antara mereka dan Mahathir.

[Baca berita penuh]