Beri tempoh masa kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menjalankan tugas presiden Umno untuk memulihkan kembali keyakinan anggota parti itu serta rakyat berbilang kaum di negara ini terhadap Umno.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan timbalan presiden itu menjalankan tugas presiden.

Bagaimanapun katanya, tempoh waktu untuk menilai keupayaan Mohamad haruslah musnasabah, tidak terlalu lama dan bukan pula dalam tempoh yang singkat.

"Bagi saya kita perlu beri peluang kepada beliau untuk melakukan apa yang dijanjikan. Beri ruang dan peluang sepenuhnya kepada beliau.

"Kita tidak boleh buat penilaian awal, berapa lama tempoh itu biarlah munasabah.

"Jangan terlalu panjang (lama)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mohamad semalam secara rasmi mempengerusikan Mesyuarat Khas MT Umno selepas menerima penyerahan tugas presiden Umno daripada Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang media selepas mesyuarat itu, Mohamad mengumumkan beberapa "pelan tindakan" yang akan diambil bagi memperkasakan kembali Umno.

Ia termasuk penstrukturan semula pentadbiran parti itu khususnya di peringkat negeri serta sasaran untuk menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-15. 

Ahmad Zahid pada 18 Dis lalu mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

Sementara itu, Tajuddin menasihati anggota parlimen Umno yang bercadang untuk lompat parti supaya tidak berbuat demikian dan diminta supaya terus istiqamah bersama parti.

Jelasnya, tiada ruang buat "katak" Umno untuk mendapat jawatan dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).

"Apa yang dapat dengan lompat parti, nak dapatkan jawatan? Jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

"Saya tak fikir senang untuk dapat jawatan, keutamaan sudah tentu pada orang parti itu terlebih dulu dan bukannya katak-katak ini," katanya lagi.

Malaysiakini difahamkan, Mesyuarat Khas MT Umno semalam memutuskan untuk tidak menerima kembali beberapa bekas pemimpin parti itu yang bertindak lompat parti.

Bagaimanapun sumber berkenaan tidak mendedahkan kepada Malaysiakini nama-nama bekas pemimpin yang "disenarai hitam" itu.

Sebaliknya bekas pemimpin berkenaan dianggap sudah tidak berguna pada Umno dan tidak perlu untuk menerimanya kembali.