Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa perbalahan antara pemimpin Pakatan Harapan dihentikan.

Lim berkata, meskipun kebebasan bersuara tidak seharusnya disekat, perpaduan di antara komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) juga tidak wajar diabaikan.

"Saya setuju dengan peringatan Pengarah Strategi Bersatu Rais Hussin agar pemimpin PH berhenti melakukan kritikan sesama sendiri, memandangkan ia boleh menjurus kepada persepsi negatif dan akibat yang buruk untuk PH.

"Saya seru supaya semua pemimpin PH berhenti menyerang melalui kritikan terbuka sesama parti komponen PH tanpa berbincang terlebih dahulu dan mendapat kebenaran daripada parti mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya ditetapkan bagi pemimpin PH yang mengkritik sesama sendiri.

Katanya, sekiranya SOP itu tidak menampakkan kesan yang memberangsangkan, Majlis Presiden PH boleh campur tangan dan mengemukakan mekanisme yang lebih baik.

Kenyataan Lim itu susulan pemimpin PH sejak akhir-akhir ini dilihat berbalas kritikan sesama sendiri berhubung pelbagai isu.

Isu yang menjadi pertikaian termasuklah berhubung gesaan sesetengah pihak agar Menteri perpaduan P Waythamoorthy meletakkan jawatan susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya dan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

[Baca berita asal]