Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: 5 pembalak M'sia 'diculik' tentera Indonesia
Diterbitkan:  Dec 23, 2018 12:42 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Lima orang pembalak rakyat Malaysia diculik sebagai tebusan oleh sekumpulan lelaki, yang dikatakan anggota tentera Indonesia, dari lokasi berhampiran sempadan Serian-Kalimantan di Sarawak minggu lepas.

NST Online melaporkan insiden itu berlaku pada 11 Disember di hutan Wong Rangkai berhampiran Kampung Danau Melikin, kira-kira 400 meter dari sempadan, apabila warga Sarawak itu didekati dua lelaki berpakaian seragam tentera.

Menurut laporan itu, lelaki berpakaiam seragam tentera itu kemudian mengacukan senjata ke arah pembalak berusia antara 15 dan 64 tahun itu sebelum mereka dipaksa menaiki kenderaan Toyota Hilux 'penculik' itu dan dibawa merentasi sempadan ke pos komando ketenteraan Indonesia di Sungai Enteli.

Pembalak itu mendakwa dikasari tentera berkenaan yang mengancam untuk menembak mereka jika cuba melawan.

Di sebuah pos komando ketenteraan, pembalak itu kemudian diberitahu untuk melucutkan pakaiannya dan memakai sarung kepala hitam yang menutupi wajah mereka ketika mereka dipaksa mengakui telah mencuri balak di hutan Indonesia.

Memetik laporan polis mengenai kejadian itu, NST Online berkata dua pembalak yang juga adik-beradik telah dilepaskan kemudian pada hari yang sama supaya dapat mengumpulkan wang tebusan kepada penculik itu.

Kedua-dua pembalak itu diberitahu untuk memaklumkan kepada keluarga mereka supaya membayar RM10,000, dan juga memberi amaran agar jangan membuat laporan kepada pihak berkuasa Malaysia atau rakan-rakan pembalak yang masih ditahan akan dihukum.

Bagaimanapun, mereka melanggar arahan tersebut dan pergi ke kem Angkatan Tentera Malaysia di Balai Ringin.

Berikutan itu, proses perundingan telah bermula yang membawa kepada pembebasan tiga orang lain pada hari berikutnya.

Laporan berita itu juga menyatakan polis Sarawak dan tentera Malaysia mengesahkan penculikan itu berlaku di sempadan Malaysia, manakala Wisma Putra telah menghantar nota bantahan kepada kerajaan Indonesia untuk mengutuk dakwaan pencurian balak dan penahanan rakyat negara ini.

Lihat Komen
ADS