Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada Timbalan Presidennya Mohamad Hasan demi kepentingan parti, orang Melayu dan Islam, lapor agensi berita nasional.

"Biarlah Tok Mat (Mohamad Hasan) jalankan tugasnya dengan sokongan kami, saya percaya tindakan Presiden (mengumumkan keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya) adalah ikhlas untuk kepentingan parti, orang Melayu dan Islam.

"Persepsi ini dibangkitkan oleh musuh Umno dan pihak yg tidak mahu Umno pulih kembali," katanya, petik Bernama.

Khaled mengulas mengenai persepsi sesetengah pihak yang mengatakan kepimpinan tertinggi bekas parti pemerintah itu masih dibayangi Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khaled juga dipetik laporan Bernama berkata kenyataan Mohamad Hasan supaya Umno mengembalikan kuasa kepada badan perhubungan negeri dilihat mampu membantu setiap bahagian mentadbir dan mencapai keputusan dengan baik di peringkat negeri masing-masing.

Katanya, keputusan pemangku presiden juga membolehkan tanggungjawab di semua peringkat dapat dijayakan dengan baik sekaligus mencapai kata sepakat dan saksama antara kepimpinan dan anggota.

"Misalnya dalam soal pendaftaran, permohonan keanggotaan dan disiplin parti, kalau diturunkan ke hubungan dan bahagian saya percaya perkara-perkara itu dapat diatasi dan ditangani dengan baik.

"Sebagai sebuah parti politik, kita bukan seperti kerajaan ataupun syarikat yang tiap-tiap hari bekerja, jadi atas sebab itu bila kita ada pembahagian tugas dan tanggungjawab, ia boleh bawa kebaikan kepada Umno kerana anggota kita ramai dan cawangan banyak," katanya kepadanya pemberita selepas merasmikan program "I'm Ready For School" anjuran Johor Volunteer, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Mohamad untuk memberi kuasa kepada negeri bagi menyusun strategi bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.