Rusuhan kuil: 6 dihadap ke mahkamah
Enam individu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.
Mohammad Shahril Danniel Sajel, 22; Mohammad Saifullah Abdullah, 31; Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, 29; Akmal Izzat Aziz, 24 dna Mohd. Norul Ismawi Islahuddin, 40 didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana didakwa memiliki senjata dalam insiden rusuhan tersebut.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir hari ini.
Dalam pertuduhan tersebut, kelima-lima individu terbabit dituduh berada dalam rusuhan di kuil itu pada 26 November, dengan kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Halang tugas penjawat awam
Sementara itu, dalam bacaan berasingan, Presiden Persatuan India Malaysia, M Manimaran, 38, menghadapi tiga pertuduhan berhubung insiden sama.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam daripada melakukan tugas dan fungsi mereka.
Selain itu, beliau turut menghadapi pertuduhan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat merusuh dengan tujuan menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar daripada kawasan kuil.

Untuk pertuduhan terakhir, Manimaran didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dikatakan dengan sengaja terlibat mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki, Sulaiman Abdullah, 32.
Keenam-enam tertuduh tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.
Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan kecuali Mohammad Shahril Danniel yang dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Ini menjadikan Manimaran harus membayar ikat jamin berjumlah RM18,000 bagi pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.
Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebanyak dua kali sebulan.
24 dituduh setakat ini
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam John Das, Ahmad Zaharil Muhaiyar, R. Sritheran dan Mohd Hezri Shaharil.
Majistret menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Insiden rusuhan yang bermula pada 26 November itu menyebabkan kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.
Ia berlarutan hingga 27 November, sehingga turut mengakibatkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib yang cuba memadamkan kebakaran pada pagi tersebut.
Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu.
Pertuduhan pada hari ini menjadikan jumlah terbaru orang kena tuduh berhubung kes rusuhan kuil Seafield meningkat kepada 24 orang

