Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu bincang dengan Warisan dulu - Muhyiddin

Bersatu perlu mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memutuskan untuk melebarkan sayapnya ke Sabah, kata Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata ini kerana Pakatan Harapan (PH) sudah mempunyai perjanjian dengan Warisan yang dipimpin presidennya, Shafie Apdal sebelum ini.

"Saya dah jumpa Shafie Apdal, kita kata janji dulu tak akan kembang sayap di Sabah pasal kita nak Warisan menaung rakyat di Sabah.

"Dan strategi kita betul lepas kita menang, tanpa kita mereka pun menang. Kita tak bertembung dan kita berjaya," kata Muhyiddin semasa sidang akhbar di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai permintaan rakyat Sabah menyertai Bersatu, walaupun parti itu tidak mempunyai sebarang bahagian di negeri di bawah bayu itu.

"Saya beritahu Shafie, you runding dengan mereka dulu. Kalau you semua ini boleh masuk Warisan, selesai supaya tak ada pertembungan parti kita dan parti-parti pro-Harapan.

"Kalau ini dah selesai, katalah sebahagian besar tak nak masuk Warisan, dan mereka kata nak sambut kita, sebab itu persefahaman dengan Warisan penting supaya kita buat keputusan. 

"Kalau tak boleh elak kita terpaksa tubuh bahagian dan cawangan dengan persefahaman," katanya.


Mengenai kehadiran Bersatu di Sarawak pula, Muhyiddin berkata ia juga memerlukan pendekatan berhati-hati supaya kehadiran mereka tidak akan menimbulkan masalah dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), terutama selepas mereka mengumumkan sebagai pro-Harapan.

Beliau berkata antara isu yang perlu dibincangkan dengan GPS adalah mengenai dasar ekonomi, termasuk mengenai sumber petroleum di negeri itu.

'Untuk Sarawak, kita dah lancarkan (Bersatu di negeri itu).

"Tetapi Sarawak kena berhati-hati, situasi agak berbeda dengan sabah, semenjanung.

"Kita nak tentukan kemasukan kita tidak jadi isu, lebih-lebih lagi GPS menyatakan pro-PH," katanya.

Beliau berkata GPS telah membuat beberapa pendirian mengenai Petronas yang jika tidak ditangani boleh memberi kesan kepada operasi syarikat petroleum itu di Sarawak.

"Dalam politik, pro-PH tapi polisi ekonomi tak beberapa pro, itu jadi masalah, kena settle dulu," kata Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS