Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan kementeriannya sudah melantik seorang peguam bagi membantu keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

"KPKT telah melantik peguam Syazlin Mansor yang akan bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Muhammad Adib dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Selain memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Muhammad Adib dan JBPM, peguam yang dilantik ini akan turut membantu polis dan pihak pendakwaan dalam prosiding kes tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, KPKT merupakan kementerian yang memantau JBPM.

Muhammad Adib, 24 tahun merupakan anggota bomba yang cedera parah didakwa akibat dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Muhammad Adib meninggal dunia 17 Dis lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa.