Dalam pesanan sempena Hari Natal esok, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia meneruskan tradisi saling menyambut perayaan pelbagai kaum.

"Ia menunjukkan sifat inklusif budaya rakyat Malaysia yang telah diraikan sekian lama.

"Saya harap ia akan berterusan sehingga ke generasi yang lebih muda. Inilah yang menjadikan Malaysia unik, bersatu dan kuat," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

 

Hari ini Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menggesa rakyat Malaysia terus menunjukkan rasa hormat, persefahaman dan perasaan sayang di kalangan mereka.

Bagi orang Islam, katanya, agama mengajar untuk bersikap adil dan berbuat baik terhadap orang bukan Islam.

Wan Azizah juga memohon semua rakyat Malaysia supaya mengambil berat akan golongan miskin, uzur, terpinggir dan mereka yang memerlukan tempat untuk berteduh.

“Anggaplah perutusan ini sebagai kad Hari Krismas peribadi saya kepada setiap rakyat yang menyambut Hari Krismas tahun ini. Selamat Hari Krismas. Selamat bercuti,” katanya lagi.

Golongan agamawan mempunyai pandangan berbeza dalam soal ucapan perayaan agama lain.

Namun Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli bin Mohamad berpandangan hukumnya harus sebagai tanda penghormatan dan mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.