Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Sim Kui Hian yang menjelaskan bahawa kerajaan negeri itu menyokong larangan merokok di tempat awam yang diinisiatifkan kerajaan persekutuan.

Kenyataan Dzulkefly itu susulan Sim dilapor media sebagai berkata bahawa Sarawak tidak terikat dengan inisiatif berkenaan.

"Saya merasa sangat berbesar hati kerana Sim dan kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan pindaan Peraturan Larangan Merokok yang melibatkan tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk tempat makan terbuka," kata Dzulkefly melalui kenyataan media hari ini.

Dzulkefly berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Sarawak melalui pihak berkuasa tempatan akan menyelaraskan undang-undang yang akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan

Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Akta Makanan 1983.

Penyelarasan ini dibuat adalah bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar pertindanan undang-undang yang melibatkan peraturan negeri dapat diatasi.

Beliau juga menjelaskan bahawa kenyataan awal Sim sebelum ini disalah tafsir.

Sim hari ini menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkannya melalui kenyataannya yang dilapor media sebelum ini adalah, perkara berkenaan di bawah peraturan kerajaan negeri yang mesti dipinda sekiranya peraturan itu akan dikuatkuasakan kelak.

Sim menegaskan bahawa Sarawak mempunyai ordinan sendiri kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi berhubung perkara itu.

"Sarawak akan ada larangan merokok sendiri, dengan mengambil pertimbangan ordinan kerajaan tempatan.

"Sebagai pakar kardiologi, saya sudah menggalakkan larangan merokok sepanjang kerjaya say," katanya.