Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rakyat Malaysia dan warga asing yang beragama Kristian di seluruh negara hari ini beramai-ramai ke gereja serta menerima kunjungan keluarga dan sahabat handai bersempena sambutan Krismas yang dirai dalam semangat keamanan dan perpaduan.

Ada juga yang menggunakan peluang cuti umum ini untuk bersama-sama keluarga dan rakan-rakan ke kawasan-kawasan tarikan umum.

Persekutuan Kristian Malaysia serta rakan kongsinya menganjurkan majlis minum petang di Luther Centre di Petaling Jaya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai tetamu kehormat.

Di Ipoh, antara yang menghadiri upacara keagamaan di Church of Our Lady of Lourdes ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dan keluarga.

Di Klang, kira-kira 1,000 orang menghadiri upacara keagamaan bersempena Krismas di Our Lady of Lourdes Church dengan sambutan kali ini lebih bermakna berikutan gereja itu turut meraikan ulang tahun ke-90, dibina oleh mubaligh Katolik pada 1928.

“Upacara keagamaan bersempena Krismas di gereja adalah unik kerana diadakan dalam pelbagai bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Tamil malah Burma bagi memudahkan warga asing dalam jemaah memahaminya,” kata paderi kariah itu Rev. Fr Frederick Joseph kepada Bernama.

Di Tampin, ketua paderi di Gereja St. John Marie Vianney, Rev Fr Peter Anthoney berkata sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna kerana selain upacara keagamaan, turut diadakan upacara pembaptisan dua bayi, masing-masing lelaki dan perempuan.

Sementara itu, beberapa gereja di sekitar SEREMBAN antaranya Church of the Visitation dan Wesley Methodist Church menjadi tumpuan penganut Kristian bagi mengikuti upacara keagamaan sebelum mengunjungi kediaman sanak saudara dan sahabat handai untuk mengeratkan hubungan.

Di Kuching, antara gereja yang menjadi tumpuan ialah St Thomas' Cathedral di Jalan McDougall dan St Joseph's Cathedral di Jalan Tun Abang Haji Openg dengan penganut Kristian tiba sejak awal pagi untuk mengikuti upacara keagamaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut meluangkan masa melakukan kunjungan bersempena rumah terbuka di kediaman Biskop Kuching, Rev Danald Jute.

Di Kuantan, penganut Kristian mula berkumpul di Gereja St Thomas seawal 8 pagi untuk menyertai upacara keagamaan yang dipimpin Father Patrick Boudville.

Upacara selama sejam bermula 9 pagi itu turut dihadiri warga asing khususnya dari Indonesia yang bekerja di sekitar daerah tersebut dengan berpakaian merah atau batik.

Di Johor Bahru, antara gereja yang menjadi tumpuan ialah Church of the Immaculate Conception di Jalan Gereja serta Cathedral of the Sacred Heart of Jesus dan Gereja Presbyterian Tebrau di Taman Sri Tebrau.

Cuaca yang cerah membolehkan orang ramai bersantai di tempat menarik bersempena cuti umum termasuk Zoo Johor dan kompleks beli-belah Komtar JBCC.

Di Melaka, acara keagamaan bersempena Krismas berlangsung di rumah ibadat seperti Gereja St. Peter's dan Gereja St. Francis Xavier.

- Bernama

Lihat Komen
ADS