Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang membidas pemimpin pembangkang yang membuat "provokasi" dan meremehkan kenyataannya bahawa DAP tidak teragak-agak keluar Pakatan Harapan (PH) sekiranya objektif Malaysia baru dipinggirkan.

"Salah satu sebab kurikulum pendidikan negara perlu dirombak adalah kerana kita menghasilkan pemimpin politik yang tidak dapat memahami kenyataan mudah, dan mereka-reka apa yang tidak ditulis.

"Saya tidak pernah kata DAP keluar PH. Apa yang saya kata ialah DAP tidak akan jadi seperti pemimpin MCA yang sangat terkenal sebagai penakut, dan pemimpin DAP, sama ada dalam kerajaan atau tidak, tidak akan teragak-agak meninggalkan gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baru dipinggirkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Lim, PAS cuba memprovokasi DAP untuk keluar PH dengan meremehkan kenyataannya sementara MCA mencabar DAP keluar gabungan itu.

Tambah Lim, Malaysia baru sedang berdepan kepayahan untuk direalisasikan dan ia akan memerlukan sumbangan semua rakyat Malaysia bagi memastikan peluang untuk memulihkan negara tidak disia-siakan.

"Ia akan mengambil masa lebih daripada 100 hari, dua tahun atau mungkin lima tahun untuk direalisasikan, malah tidak mustahil akan lebih satu atau dua dekad.

"Ini sebabnya rakyat semua rakyat Malaysia perlu membangunkan gambaran besar dan visi jangka panjang. Bagi sambutan Krismas kali ini, saya berharap PH akan terus bertambah kukuh untuk memenangi pilihan raya umum seterusnya agar dapat meneruskan usaha membina Malaysia Baru dan mencapai kesepakatan dalam permasalahan dan perbezaan antara parti," katanya.