Langkah kerajaan persekutuan menetapkan semula harga jualan runcit petroleum secara mingguan adalah tidak penting, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebaliknya kata beliau, apa yang penting kepada rakyat kini adalah menikmati harga bahan api lebih murah.

"Bagi rakyat tak penting (penyelarasan harga) secara mingguan ke, secara bulanan ke, yang penting harga minyak murah.

"Itu saja yang rakyat nak, kita kena ingat pemimpin-pemimpin PH semua bercakap sebelum pilihan raya menjanjikan harga minyak akan turun jika mereka menang," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kaedah penetapan harga jualan runcit minyak secara bulanan akan digantikan secara mingguan bermula 1 Januari 2019.

Malah, kerajaan memberi jaminan harga minyak RON95 akan dijual pada harga lebih rendah bermula 1 Januari tahun depan berikutan kejatuhan harga minyak mentah global.

Pengumuman itu turut menerima reaksi sinis daripada bekas perdana menteri, Najib Razak yang mengingatkan Lim supaya tidak menetapkan harga minyak mingguan pada hari Rabu seperti mana dilakukan kerajaan BN terdahulu.

"Jangan umum harga petrol mingguan pada hari Rabu. Nanti orang kata copy paste BN. Umum pada hari selasa atau Khamis," Tulis Najib di Facebooknya.

'Hari ni menang esok harga minyak turun'

Sementara itu, Mohd Amar berkata, isu mengenai harga petrol merupakan isu besar dan penting kepada rakyat.

"Itu isu besar, sebab itu saya tanya dulu mereka ini kaji ke dulu sebelum bercakap. Sepatutnya kaji dan tengok dulu sebelum cakap.

"Bagi kita yang penting harga minyak murah, mekanisme apa itu terserah pada kerajaan.

"Sebelum ini Anwar (Ibrahim) dalam ceramah-ceramahnya cakap, hari ini kita menang esok harga minyak turun. Video ceramahnya itu tersebar luas termasuk di You Tube.

"Kalau dia cakap hari ini kita menang, kita usahakan untuk turunkan harga minyak lainlah sikit," jelasnya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.