Kebangkitan Bersatu: Dulu susah, sekarang senang
Dua tahun lepas, ahli-ahli Bersatu yang meninggalkan Umno terpaksa bergelut untuk bertapak dalam politik tanah air .
Pada masa itu mereka juga terpaksa menerima hakikat sebagai sebahagian daripada parti pembangkang.
Dianggap sebagai pengkhianat, Umno sebagai parti pemerintah pada waktu itu juga memberikan tekanan kepada Bersatu lebih banyak berbanding parti-parti pembangkang lain.
“Kamu pun tahu, Amanah, PKR, DAP mana ada isu? Bersatu sahaja kena bantai,” kata Exco Pemuda Bersatu, Zainal Abidin Sihab.
Selepas menyertai Bersatu, Zainal (foto) yang terlibat sebagai penganjur acara sambilan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis sering menolak permohonan permit Bersatu untuk menganjurkan acara.
Malah Zainal mendakwa majikannya turut menghadapi tekanan daripada kerajaan BN menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebanyak lapan kali.
Tetapi, kata Zainal semua itu berubah apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14.
“Sekarang jauh bezalah, mereka panggil saya ‘Okay, Tuan!” katanya kepada Malaysiakini selepas perlawanan futsal di Simpang Renggam.
Keadaan sama berlaku di Pantai Timur apabila Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris terpaksa ‘berniaga’ demi mengumpul dana untuk parti itu sebelum PRU14.
Kalau di dalam Umno, jawatan pengerusi negeri dianggap sebagai ‘orang besar’, tetapi Razali pula terpaksa menjual kain samping pada majlis sambutan ulang tahun Bersatu di Muar, tahun lepas.
Kain samping tenunan emas dengan logo Bersatu itu dijual pada harga RM500 setiap satu.
Bagaimanapun, katanya, semua itu sudah berlalu dan penaja kini juga sudah tidak bimbang untuk melaburkan wang mereka kepada Bersatu.
Tumpang acara kerajaan
Biarpun keadaan telah berubah, Razali (gambar) menjelaskan itu tidak bermakna Bersatu kini mempunyai dana yang banyak.
Malah, parti itu masih perlu ‘menumpang’ pada majlis-majlis anjuran kerajaan.
“Kemudahan ada, kita tumpang di situ. Tak perlu bawa bendera parti [...] Orang tahu kerajaan (sekarang) adalah PH, tak perlu kita cakap program Bersatu.
“Kalau kita cakap program Bersatu, kita kena belanja sendiri. Tapi kita tak ada wang (untuk) itu. Kita nak dapat wang (pun) kena (melalui) fundraising, (kerana) tak ada jawatan,” kata senator itu lagi.
Pada PRU lalu, beliau tewas bertanding di Parlimen Hulu Terengganu apabila PAS hampir menyapu bersih kerusi di pantai timur.
Razali turut membandingkan kerajaan negeri Terengganu yang diterajui PAS yang disifatkannya lebih lembut terhadap pembangkang berbanding pemerintah lama, Umno.
“Ahmad Razif (menteri besar lama) memang keras, dia amalkan diksriminasi, parti-parti pembangkang tak boleh sewa balai raya. Dulu tak boleh (gantung kain rentang), kena potong.
“Sekarang ada keterbukaan, kain rentang kita mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah, kita pasang dan tidak dikacau.
“Saya rasa sikap dia (PAS) lebih baik daripada Umno walaupun dia masih lawan kita dalam politik,” katanya lagi.
Razali turut mengumumkan bahawa Bersatu Terengganu akhirnya memiliki ibu pejabat sendiri di Kuala Terengganu. Sebelum ini, mereka terpaksa menyewa rumah bekas setiausaha Umno sebagai ibu pejabat.
“Sewa RM3,000 (sebulan), dulu tumpang. Sekarang ada pekerja dalam dua ke tiga orang. Overhead (bulanan) ialah RM7,000, katanya.
Kembali pegang jawatan
Sementara itu, di kawasan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di Pagoh, penyokong-penyokong setia beliau kembali memegang jawatan dalam kerajaan negeri Johor setelah Bersatu memegang kuasa negeri.
Antaranya setiausaha cabang Pagoh, Atiman Kadar, yang meletakkan jawatan sebagai ahli majlis Muar tahun lalu, sebelum dipecat keahlian daripada Umno.
“Masa itu (ada) tekanan yang dibuat oleh kerajaan BN, maka dengan sendiri saya undur diri (kerana) tidak mahu penekanan ini berterusan. Saya rasa lebih sesuai undur sebagai ahli majlis kerana saya ahli pembangkang.
“Sekarang selepas kemenangan PH, kebetulan menteri besar Johor adalah dari Bersatu, sikit demi sikit kemudahan untuk agensi kerajaan bertambah baik,” katanya.
Atiman (gambar) yang kembali sebagai ahli majlis Muar berkata, ketua-ketua jabatan kini perlu mengikut apa yang telah ditentukan oleh kerajaan negeri sekarang.
Sementara itu, bekas ketua cawangan dan AJK Umno yang meletakkan jawatan sejurus Muhyiddin dipecat daripada parti itu, kini merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang.
Mohd Solihan Badri, yang sebelum ini berada di bawah Umno Pagoh, berkata, beliau terpaksa membelanjakan wang yang besar dari poketnya sendiri untuk menubuhkan Bersatu di kawasan parlimen sekitar Ledang.
“Selepas PH mengambil alih kerajaan, saya masih menggunakan duit sendiri tetapi ringan sedikit kerana saya dapat elaun sebagai Adun.
“Parti saya menyalurkan beberapa ribu untuk aktiviti Bahagian tetapi tidak banyak,” katanya.
Apabila Muhyiddin dipecat daripada jawatan timbalan presiden Umno dan daripada keahlian parti itu pada 2016, Bersatu telah pun mempunyai kira-kira 1,000 anggota di Pagoh.
Bilangan itu meningkat kepada 3,000 orang dalam masa yang singkat sebelum PRU-14.
Jumlah itu bagaimanapun tidak sampai 10 peratus daripada 23,000 keahlian Umno di Pagoh.
Dalam tujuh bulan pertama sejak kemenangan PH, keahlian Bersatu Pagoh mencatatkan peningkatan sebanyak 1,000 ahli lagi.
Menurut setiausaha agung Bersatu Marzuki Yahaya, jika sebelum PRU-14, parti itu mempunyai kira-kira 200,000 ahli, kini ia menerima ribuan permohonan setiap hari.
Sebahagian mereka dijangka hadir di perhimpunan tahunan Bersatu kali kedua yang akan diadakan hujung minggu ini- juga merupakan perhimpunan pertama parti itu sebagai parti pemerintah.
Menariknya dan bagaikan simbolik, perhimpunan tersebut dijadualkan berlangsung di Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran negara.

