Bermula Mac depan, Umno akan membuka pusat latihannya di Janda Baik sebagai pusat penginapan komersil dalam usaha mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pendapatan parti.
Menurut The Malaysian Insight, Umno memutuskan untuk membuka Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) kepada orang awam, pertubuhan atau syarikat baik untuk bercuti atau aktiviti membina semangat dan mengukuhkan pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Putrade Property Management Sdn Bhd, Shamsul Kamar Ahmad berkata, tempat itu selepas ini mungkin dikenali sebagai Ilmu Resort.
“Kami baru ambil alih, mungkin pengubahsuaian semula ambil masa beberapa bulan sebelum boleh dibuka kepada umum. Kita jangkakan siap pada Mac nanti,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Kawasan itu sebelum ini dijadikan pusat pengkaderan dan latihan perang saraf Umno serta program tertutup berkaitan dengan parti. Ia hanya digunakan eksklusif untuk Umno, tidak pernah dibuka kepada orang luar.
Menurut laporan itu, kali terakhir program dijalankan di Ilmu pada Oktober lalu.
Katanya lagi, selama ini, ilmu diselia oleh Umno dan diserahkan kepada Putrade, syarikat yang turut menguruskan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat parti.
Jelasnya, selepas pengubahsuaian dilakukan, Putrade akan menanggung sepenuhnya kos operasi pusat tersebut daripada hasil yang dijana melalui aktiviti komersial.
“Selama ini Umno menguruskan sendiri Ilmu. Sekarang Putrade ambil alih untuk diuruskan secara komersial. Cadangan untuk dijadikan resort dan pusat latihan sesuai untuk diadakan mesyuarat, persidangan, hari keluarga dan juga pusat latihan.
“Di sini sesuai kerana ada pelbagai jenis bilik seperti rumah tiga bilik, bilik-bilik dan bilik asrama. Budak sekolah atau pelajar universiti juga boleh datang untuk ambil bahagian dalam aktiviti seperti bina semangat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
