Lembaga ​​​Zakat Negeri Kedah (LZNK) memberi amaran kepada ejen-ejen yang dilantik agensi zakat dari negeri lain agar tidak beroperasi di Kedah, bagi mengelakkan sebarang tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kegiatan itu dikesan berlaku di Kedah kebelakangan ini, yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada LZNK malah ia salah dari segi undang-undang.

“Dari segi konsep syariat, perundangan zakat dalam mazhab syafie, keutamaan diberi kepada di mana tempat kita bekerja untuk kita bayar zakat supaya orang miskin setempat dapat manfaat. Perkara ini agak sensitif tapi kita perlu bahaskan sebab ia mengaitkan hak orang miskin setempat.

“Saya juga ingin ingatkan orang ramai agar tidak menyuburkan ejen kutipan zakat dari negeri lain, sebab kalau kita tidak beri, mereka tidak datang lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Penyampaian Agihan Balik Zakat Bersama Syarikat Korporat di sini, hari ini.

Beliau berkata ejen-ejen berkenaan juga diingatkan agar menghormati undang-undang berkaitan agama negeri lain kerana ia di bawah bidang kuasa raja negeri masing-masing.

Zakaria berkata LZNK juga mengingatkan syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di Kedah agar membayar zakat di negeri ini demi menjaga kemaslahatan masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata pihaknya bagaimana pun berpuas hati dengan kutipan zakat pendapatan yang semakin meningkat setiap tahun dan yakin sasaran kutipan keseluruhan zakat sebanyak RM200 juta bagi tahun ini akan tercapai.

“Sehingga hari ini jumlah kutipan zakat sudah mencecah RM165 juta dan walaupun berbaki cuma beberapa hari sahaja lagi, sasaran itu dapat dicapai kerana sekarang adalah tempoh kemuncak untuk semua pihak melunaskan zakat masing-masing,” katanya.

Katanya jumlah penerima bantuan zakat di Kedah juga meningkat kepada 16,843 pada tahun ini berbanding hanya lebih 8,000 pada 2017.

-- Bernama