Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam sedia bentang maklumat teknologi marijuana kesihatan

Anggota Dewan Negara, Senator Husam Musa menyatakan bersedia untuk membentangkan maklumat dan teknologi marijuana kesihatan kepada pihak yang berminat untuk membuat kajian.

Menurutnya, maklumat itu berkaitan satu spesis pokok marijuana yang secara semula jadi boleh digunakan untuk tujuan kesihatan.

"Saya pernah bercakap mengenai marijuana sebagai satu komoditi kesihatan, tetapi apa yang saya cadangkan sedikit berbeza dengan sesetengah (pendapat) yang viral sekarang iaitu marijuana sebagai ubat.

"Tetapi apa yang saya cakap ialah spesis marijuana yang tidak menimbulkan ketagihan dan secara semula jadi. 

"Marijuana jenis ini boleh memberi kesan kesihatan kepada manusia tanpa ketagihan," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini ketika diminta mengulaskan keputusan kerajaan Thailand yang menghalalkan marijuana untuk kesihatan di negara itu.

Husam yang juga merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata demikian selepas mengadakan ziarah ke rumah Ketua I Persatuan Penulis Kelantan, Husdaini Mamat yang disyaki menghidap penyakit kanser sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pihak berkenaan perlu berani membuat kajian mengenai marijuana kesihatan itu sebelum diperkenalkan di negara ini.

"Saya mempunyai maklumat berkenaan perkara tersebut dan teknologi berkaitan, saya bersedia membentangkan maklumat dan teknologi berkenaan kepada mana-mana pihak yang sanggup buat kajian.

"Ia memakan sedikit masa untukpihak-pihak berwajib mengetahui keadaan atau kedudukan perkara ini dan membuat kajian lebih lanjut, dan seterusnya memajukannya tanpa syak wasangka.

"Adapun marijuana yang mempunyai unsur kesihatan tapi menimbulkan ketagihan sedikit sebanyak tentu menimbulkan ancaman keselamatan sekiranya perkara tersebut digunakan atau ditanam secara bebas di negara kita," katanya tanpa menjelaskan spesis marijuana yang dimaksud itu.

Tambah Husam, setakat ini beliau belum panjangkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana masyarakat sekarang dalam proses berbicara perkara itu secara terbuka.

"Kalau dulu segan silu, takut-takut, sekarang semua dah jadi juara (tentang) penggunaan marijuana untuk kesihatan.

"Tetapi saya yakin mereka tiada teknologi seperti saya sebutkan. Bila masyarakat dah biasa, mereka boleh terima penggunaan marijauana perubatan ini," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata pihak kementeriannya sedia mempertimbangkan permohonan syarikat perubatan yang mahu menggunakan marijuana dalam perubatan dengan syarat syarikat tersebut mampu membuktikan bahan itu selamat dan berkesan.

Lihat Komen
ADS