Jantina mayat rentuntg adalah lelaki - polis
Mayat rentung yang ditemui di dalam sebuah kereta yang musnah dijilat api dalam kejadian di Taman Jasper Jaya, Seremban malam tadi, seorang lelaki berusia 34 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak berkata siasatan mendapati mayat berkenaan berada di tempat duduk pemandu dan sudah rentung bersama kereta tersebut.
“Identiti mangsa telah dikenal pasti dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah didapati dalam kejadian tersebut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat bagi menentukan sebab kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli berkata siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’.
Semalam, seorang mangsa ditemui rentung dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang musnah dijilat api dalam kebakaran di Taman Jasper Jaya, Seremban kira-kira pukul 9.49 malam.
-- Bernama

