Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad kesal dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan Umno sudah tiada masa depan dan wajar dibubarkan.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, ketika PAS sendiri dilanda masalah dahulu dengan sebahagian besar pemimpinnya, Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang komen negatif malah turut memberi sokongan.

"Suatu ketika dahulu PAS bergelut dengan 'jaguh-jaguh' mereka sendiri seperti Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Datuk Salahuddin Ayub tetapi Umno tidak memberi komen negatif malah terus menyokong agar PAS terus relevan.

"Kita tidak pernah hina atau perli PAS termasuk di dalam Dewan Negeri walaupun 'dihentam' dengan secukupnya oleh Datuk Husam Musa. Umno mengambil sikap berdiam diri dan mesra dengan PAS," katanya.

Md Alwi berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Amar itu sebenarnya cukup 'baik dan ikhlas'," katanya dengan nada sinis.

Menurutnya, Umno sebenarnya sudah membuat keputusan yang jelas dibawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hassan yang akan kekal sebagai pembangkang dan akan berkerjasama dengan semua parti termasuk PAS (sekiranya parti itu bersetuju) sebagai pembangkang yang berwibawa kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang.

"Umno masih mempunyai tiga juta anggota dan 38 Anggota Parlimen serta puluhan ADUN. Kami menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Umno mampu bangkit kembali," katanya.

Selain Mohd Amar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui satu temuramah sepetang bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dublin, Ireland, baru-baru ini menyifatkan UMNO sebagai bahtera yang sudah bocor dan PAS tidak mungkin bergabung dengan parti itu.

Tambah Abdul Hadi lagi, gabungan dengan parti sedemikian hanya akan menambahkan kesulitan.

- Bernama