Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Isu Tabung Haji agenda tersirat jatuhkan imej Islam
Diterbitkan:  Dec 27, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan isu Tabung Haji (TH) digunakan sebagai agenda tersirat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej Islam.

Perkara tersebut dinyatakannya pada sesi dialog bersama warga Malaysia di sebuah hotel di London kelmarin, lapor Harakahdaily.

"Mereka hentam Tabung Haji melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi hakim, ini tak betul, salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini untuk merendahkan imej Islam.

"Itu agenda itu ada. Ini kita kena sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof pada 10 Disember lalu mendedahkan keadaan kewangan Tabung Haji mengalami defisit RM4.1 bilion.

Beliau juga berkata hibah (dividen) Tabung Haji dibayar menggunakan wang pendeposit sendiri, dan bukannya keuntungan, sejak 2014.

Sementara itu, Hadi yang juga anggota parlimen Marang juga menjelaskan pendirian PAS itu tidak bermakna mereka mendukung penyelewengan.

“Penyelewengan itu satu, imej Islam itu satu. Kita setuju menentang penyelewengan.

"Tapi jangan libatkan Islam dengan sebab kesalahan Tabung Haji. Tetapi terdapat kalangan tertentu yang bukan Islam ini ada agenda nak merendahkan imej Islam ini melalui Tabung Haji," ujarnya.

Lihat Komen
ADS