Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dilapor tidak mengiktiraf pengumuman seorang pesara guru sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam majlis di Kampung Kemin di Jelebu, 20 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan Dr Razali Ab Malik berkata dewan berkenaan menganggap pelantikan Maarof Mat Rashad, 63, tidak sah kerana tidak mengikut syarat, lapor Berita Harian.
“Mesyuarat dewan ini yang bersidang Oktober lalu bagi membincangkan konflik dalam majlis pengisytiharan dan pemasyhuran Undang Luak Jelebu ke-16 memutuskan untuk memulangkan semula urusan pemilihan kepada luak berkenaan.
“Dewan Keadilan dan Undang menyerahkan kepada ketua adat di Jelebu untuk memilih Undang, namun mereka perlu memulakan semula proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu mengikut aturan adat di luak berkenaan.
“Bagaimanapun, semua ketua adat perlu menyelesaikan sebarang masalah di antara mereka terlebih dulu bagi membolehkan pemilihan dijalankan dengan lancar,” beliau yang juga setiausaha kerajaan negeri dilapor berkata demikian ketika dihubungi.
Minggu lepas, Kepala Adat Luak Jelebu Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zin mengumumkan pelantikan Maarof.
Menurut Ismail, pengumuman itu dibuat berdasarkan peruntukan Kanun Adat Luak Jelebu dan dihadiri semua Dato’ Lembaga Delapan Luak Jelebu, kecuali Dato’ Mengiang Merah Bangsa dan digantikan oleh Buapaknya Tok Panglima Hitam.
“Pengumuman diikuti dengan tembakan sebanyak tujuh das sebagai tanda pengesahan terisinya pesaka Undang Luak Jelebu ke-16,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Berita Harian, Maarof sudah dua kali diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 iaitu pada Jun tahun ini dan tahun lalu, namun tidak mendapat pengiktirafan Dewan Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri.
Selain beliau, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun juga pernah diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada April 2016, namun turut tidak diiktiraf.
Dr Razali berkata, pihaknya tidak dapat membuat jangkaan masa kemelut itu akan berakhir kerana urusan pemilihan dilakukan oleh ketua adat di luak terbabit.
Namun, katanya, Dewan Keadilan dan Undang akan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.
