Sekumpulan aktivis membuat laporan polis berhubung tindakan sekumpulan individu memukul dua lelaki separuh bogel dalam sebuah kereta baru-baru ini.

Aktivis masyarakat, Numan Afifi berkata pihaknya terpaksa tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan mereka yang terlibat.

"Tujuan saya membuat laporan polis ini kerana saya bimbang akan keselamatan dua orang mangsa tersebut dan percaya terdapat unsur jenayah yang telah dilakukan oleh sekumpulan individu terbabit terhadap kedua-dua mangsa.

"Saya juga dapati ugutan berbaur jenayah oleh netizen yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa berlegar di laman sosial disebabkan penularan video tersebut," katanya katanya selepas membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Numan Afifi, 27, yang bekerja sendiri, mendesak siasatan dilakukan terhadap insiden terbabit.

"Kami menerima laporan yang tidak disahkan mengenai video tular, dua pemuda telah dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana didakwa melakukan seks sejenis.

"Kami mengutuk keganasan anti-gay ini dan menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat jenayah kebencian ini. Cukup-cukuplah," kata Numan Afifi.

Dalam video 1 minit 36 saat itu dua lelaki kelihatan dipaksa memakai baju dan diminta keluar daripada kenderaan.

Kedua-dua mereka kemudian dipukul oleh sekumpulan lelaki yang meminta mereka keluar dari kenderaan tersebut.

Sehingga kini masih belum dapat dipastikan lokasi dan waktu kejadian.

Sementara itu peguam hak asasi manusia, Azlan Razak berkata tindakan sekumpulan individu itu membelasah dua lelaki itu adalah satu kesalahan jenayah serius dan sepatutnya merujuk perkara itu kepada pihak polis.

Buat masa ini, katanya, tidak ada siapa yang berani tampil ke depan untuk membuat laporan polis.