Empat kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilaporkan positif dadah selepas ujian saringan dibuat terhadap mereka.
Menurut laporan Kosmo hari ini, Ketua Pengarah AADK Zulkifli Abdullah berkata kegiatan penagihan mereka terbongkar selepas AADK menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 2,841 kakitangan agensi itu di seluruh negara.
Beliau berkata ia sebahagian daripada ujian saringan yang dilakukan di jabatan kerajaan dan swasta.
“Kita akan membuat ujian saringan secara agresif dengan jabatan kerajaan dan swasta bagi mengesan mereka yang terlibat dalam penyalah gunaan dadah di tempat kerja.
“Sebelum fokus jabatan lain, kita buat terhadap AADK dahulu sekali gus menunjukkan kita sendiri tidak terkecuali,” katanya seperti dipetik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Majlis Pelancaran Hotline AADK di Ibu Pejabat AADK di Jalan Maktab di Kajang, Selangor hari ini.
