Pengerusi Johor Corp, Osman Sapian berkata hari ini beliau akan berjumpa dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu bagi membincangkan kemungkinan mengkaji semula harga rangkaian restoran KFX di seluruh negara.

"Saya tidak tahu. Saya perlu berbincang dengan CEO (Kamaruzzaman Abu Kassim) tetapi beliau sedang bercuti. Saya perlu mendapatkan maklumat lanjut daripadanya," kata menteri besar Johor kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas dakwaan yang tular mengenai kenaikan drastik harga bagi menu makanan KFC.

Johor Corp memegang saham sebanyak 51.86 peratus dalam QSR Brands (M) Holdings Bhd, syarikat pengendali francais KFC dan Pizza Hut di Malaysia.

"Saya akan jumpa beliau, kemudian saya akan beritahu kamu. Kerana sekarang beliau sedang bercuti, jadi sukar untuk saya menjelaskan," kata Osman ketika ditemui pada perhimpunan agung Bersatu ke-2 di Putrajaya hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Osman memberitahu QSR Brands akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur IPO pada tahun hadapan.

"Dan KFC akan mengeluarkan tawaran awal awam (IPO). Itu sahaja yang dapat saya beritahu kamu," katanya lagi.

'Penyelasaran kecil pada harga'

Pada sidang akhbar terdahulu selepas mempengerusikan majlis tertinggi parti, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memaklumkan terdapat kes-kes syarikat atau restoran yang didapati tidak mematuhi undang-undang yang mengatur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Terserah kepada Kementerian Kewangan untuk menyiasat aduan ini," katanya.

Pada Rabu lalu, QSR Brands memaklumkan telah melakukan "penyelarasan kecil pada harga" selepas tular dakwaan di media sosial mengatakan syarikat itu telah menaikkan harga pada menu jualannya.

Mengulas aduan berkenaa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam berkata akan menyiasat KFC dan McDonalds mengenai kenaikan harga produk mereka.