AGM BERSATU | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa anggota parti itu meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam Pakatan Harapan pada setiap peringkat bagi memenuhi harapan rakyat yang mengundi mereka.

"Tingkatkan persefahaman dan kerjasama kita dengan parti-parti anggota Pakatan Harapan di setiap peringkat. Elakkan prasangka sesama kita.

"Inilah masanya untuk kita kotakan segala janji kepada rakyat. Usahlah bertingkah sesama kita yang akhirnya akan merugikan kita semua," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Bersatu di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kejayaan parti-parti dalam PH kerana bergabung sebagai satu kesepakatan.

Tak boleh bersendiri

"Ingat bahawa kemenangan Bersatu... Keadilan, DAP dan Amanah juga adalah kerana mereka semua berada di dalam Pakatan Harapan.

"Kita tidak boleh bersendiri dalam perjuangan ini. Mustahil kita dapat mentadbir negara dengan hanya bersandarkan kekuatan parti kita sahaja. Kita saling memerlukan antara satu lain," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa sayap wanita dan pemuda Bersatu untuk memperbaiki usaha menarik anggota baru ke dalam parti itu.

Beliau juga mengiktiraf peranan Pemuda Bersatu semasa kempen PRU14 lalu.

"Kita tentunya masih ingat Armada diserang dengan bertubi-tubi oleh parti lawan.

"Armada (Pemuda) terus mara dengan berani sehingga musuh kita tewas dan tersungkur. Tahniah saya ucapkan," katanya lagi.