Khairuddin berani usik TMJ kerana berselindung di belakang individu 93 tahun
Pemuda Umno Johor menyifatkan Khairuddin Abu Hassan hanya berani mengusik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan berselindung di sebalik "individu berusia 93 tahun".
Meskipun tidak menyebut nama individu berusia 93 tahun yang dimaksudkan, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Md Shah dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Mohd Hairi menyifatkan Khairuddin juga merupakan "individu ego" yang bertanggungjawab memecahbelahkan orang Melayu di negara ini.
"Siapa beliau untuk melontarkan kata-kata ego nasihat kepada Tunku Mahkota Johor begitu? Adakah hanya kerana berlindung di sebalik susuk tubuh manusia berumur 93 tahun yang sebelum ini pernah mengusik kuasa Raja-Raja Melayu, beliau ini berani lantang bersuara?
"Pergerakan Pemuda Umno Johor hari ini menegaskan dan mengingatkan agar insan bernama Khairuddin, hentikanlah memecahbelahkan Melayu sehingga berani mencabar institusi diraja Johor.
"Adakah Khairuddin ini yang menjadi petualang kepada perpecahan Melayu dan menjadi punca perselisihan faham antara Najib (Razak) dan Mahathir?
"Ini kerana beliau yang dahulu bermatian untuk menggulingkan Najib dan menjadikan Mahathir sebagai perantara, namun hari ni beliau tidak bersama Bersatu sebaliknya memilih parti Amanah," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
'Pendapat peribadi'
Semalam Khairuddin yang juga penyokong kuat Mahathir mencadangkan supaya Tunku Ismail atau TMJ turun dari singgahsana dan menceburkan diri dalam dunia politik sepenuh masa.
Khairuddin berkata TMJ wajar “mengikut teladan” veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar sebagai contoh kerabat diraja yang menceburi bidang politik.
“Janganlah Tuanku sentiasa dan berterusan mengungkapkan kenyataan politik yang amat tidak manis didengar oleh rakyat jelata kerana kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.
“Tetapi andai Tunku rasa hebat berpolitik, turunlah dari takhta secara terhormat agar Tunku boleh terus mengkritik pemimpin kerajaan dan rakyat juga boleh mengkritik Tunku secara terbuka,” kata Khairuddin.
Kenyataan Khairuddin itu dipercayai merujuk kepada kritikan Tunku Ismail terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata tiada salahnya jika TMJ mengkritik dan memberi pandangan, bahkan perkara sama juga dilakukan baginda terhadap BN sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Mohd Sani Hamzah menyifatkan saranan Khairuddin sebagai pandangan peribadi beliau dan tiada kaitan dengan parti itu.
Jelas Mohd Sani, parti itu berpegang kepada prinsip mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi diraja dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Saya boleh komen sedikit saja bahawa ia adalah pandangan peribadi beliau (Khairuddin) tiada kaitan dengan parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

