Presiden MIC nafi bertanding PRK Cameron Highlands
Presiden MIC S Vigneswaran menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
Bercakap kepada Malaysiakini, presiden Dewan Negara itu menegaskan bahawa beliau bukan calon MIC bagi PRK berkenaan.
"Tidak (bertanding.) Saya sangat gembira menjadi presiden Dewan Negara," katanya.
Vigneswaran menjelaskan bahawa MIC masih mempertimbangkan calon yang akan bertanding dan pengumuman akan dibuat pada minggu pertama Januari.
Terdahulu, New Straits Times melaporkan spekulasi bahawa naib presiden dan bekas timbalan menteri T Murugiah akan dicalonkan di kerusi berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran yang bertanding di Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, berkata beliau menjangkakan akan bertanding sekali lagi di kerusi itu.
"DAP memberi gambaran saya akan bertanding, tapi saya akan tunggu pengumuman rasmi.
"Apapun, ia keputusan parti, saya serahkan pada pucuk pimpinan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Sebelum ini, media turut melaporkan spekulasi bahawa T Kayveas dari MyPPP yang melobi kerusi berkenaan sebelum PRU ke-14 juga dijangka bertanding.
Bagaimanapun, ketika dihubungi, Kayveas berkata beliau belum membuat keputusan muktamad.
Sementara PAS, yang turut meletakkan calon pada 9 Mei lalu, mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada PRK itu dan akan menyokong calon pembangkang yang dipilih mereka.
Pengerusi PSM Cameron Highlands, Suresh Kumar pula partinya tidak akan meletakkan calon di PRK berkenaan.
PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kerusi berkenaan perlu dikosongkan kerana berlaku pembelian undi yang memberi kemenangan kepada Naib Presiden MIC pada PRU lalu.
MIC tidak membuat rayuan kepada keputusan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mentepkan 12 Jan sebagai hari penamaan calon dan 26 Jan sebagai hari mengundi.
Semalam, SPR menetapkan Sivarraajh tidak layak bertanding bagi PRK itu.

