Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan pemimpin Umno yang dengan "lantang cuba mengajar" kerajaan menangani masalah negara.

Mahathir juga mengakui "kerosakan" menimpa negara lebih teruk berbanding yang dijangkakan ketika berkempen sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

"...Dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita tangani masalah (negara.

"Masalah yang ditinggalkan oleh mereka. Jika mereka begitu pandai, kenapakah mereka tidak

betulkan kerosakan semasa mereka memerintah dahulu?" katanya di hadapan kira-kira 1,200 perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini

Meskipun tidak menyebutkan nama pemimpin terdahulu yang dimaksudkan, Mahathir dipercayai, antara lain merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sering mengkritik pentadbiran PH.

Sementara itu, tambah Mahathir, walaupun sudah tujuh bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, masih ada "kerosakan" dalam jentera kerajaan dan kewangan negara yang sebelum ini tersembunyi ditemukan.

Bagaimanapun, katanya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu.

"Mereka hanya ingin lihat hasil pemulihan negara oleh kita.

"Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu," katanya.

Anggota parlimen Langkawi itu juga menjelaskan bahawa peguam negara telah memulakan langkah-langkah awal untuk mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu atas kesalahan salah guna kuasa dan rasuah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memerlukan masa bagi tujuan berkenaan.

"Proses undang-undang mengambil masa. Untuk dilihat kita memerintah mengikut undang-undang kita perlu terima kelewatan proses," katanya.

Tidak lama selepas PH mengambil kerajaan, beberapa pemimpin Umno BN termasuk bekas perdana menteri dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Najib kini berdepan 24 pertuduhan atas dakwaan pengubahan wang haram, sembilan pertuduhan pecah amanah, dan lima penyalahgunaan kuasa. Beliau juga berdepan pertuduhan berhubung dakwaan menukar laporan asal audit 1MDB.

Sementara Ahmad Zahid berdepan 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.