Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC mahu mohon status hilang kelayakan Sivarraajh disemak

MIC akan memohon semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan naib presiden parti itu, C Sivarraajh hilang kelayakan untuk bertanding dan mengundi dalam pilihan raya untuk lima tahun.

Jelas Presiden MIC, S Vigneswaran, semakan kehakiman itu dibuat kerana SPR didakwa menggunakan "terjemahan sendiri" ke atas keputusan Mahkamah Pilihan Raya dengan mengaitkan bahawa Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu dengan amalan rasuah.

"Hakim tidak menamakan Sivarraajh atau pihak lain di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagai individu yang mengamalkan rasuah.

"Tindakan SPR menghilangkan kelayakan Sivarraajh ini melangkaui kuasa kehakiman dengan menggunakan terjemahan dan perincian sendiri. Tanpa arahan jelas daripada mahkamah, bagaimana SPR, yang bukan merupakan sebahagian daripada prosiding itu, membuat keputusan?

"Saya tidak tahu sama ada mereka mematuhi undang-undang atau mereka menetapkan undang-undang?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Vigneswaran menjelaskan bahawa dokumen bagi permohonan semakan kehakiman akan diserahkan awal minggu depan.

Dalam keputusan petisyen pilihan raya terhadap Sivarraajh sebelum ini, hakim Azizah Nawawi memutuskan pengundi Orang Asli di parlimen Cameron Highlands dirasuah untuk mengundi BN.

Tindakan memberi rasuah itu dilakukan sama ada oleh SIvarraajh, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail atau agen.

Bagaimanapun, Azizah hanya mendapati berlaku amalan rasuah, dan tidak menemukan bukti langsung yang mengaitkan pemimpin MIC kepada rasuah berkenaan.

Azizah kemudian mengarahkan kerusi Cameron Higlands dikosongkan. Selepas tiada rayuan, SPR menetapkan pilihan raya kecil (PRK) di kerusi berkenaan diadakan pada 26 Jan.

Dengan hari penamaan calon pada 12 Jan kurang daripada dua minggu saja lagi, Vigneswaran berkata MIC belum memutuskan calon yang akan dipertandingkan.

Sivarraajh sebelum ini turut disenarai pendek sebagai calon, namun SPR menetapkan beliau hilang kelayakan.

Pada PRU ke-14, SIvarraajh memenangi kerusi berkenaan melalui pertembungan lima penjuru dengan meraih 10,307 undi, iaitu 597 undi mengatasi calin DAP M Manogaran yang mendapat 9,710 undi.

Calon PAS, PAS dan Berjasa masing-masing meraih 3,587, 680, dan 81 undi.

Cameron Highlands merupakan salah satu daripada dua kerusi parlimen yang dimenangi MIC dalam PRU itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS